Ahli Parlimen Pembangkang Tetap Mahu Bahas Isu Tuntutan Sulu – Shafie

Shafie Apdal

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengulangi gesaan untuk membahaskan isu tuntutan waris kesultanan Sulu di Parlimen.

Meskipun kerajaan mengadakan taklimat tertutup mengenai perkara itu malam tadi, Shafie berkata ahli politik pembangkang yang menghadiri sesi itu telah menyuarakan pandangan mereka tentang keperluan perbahasan itu.

“Kita menyuarakan tentang perlunya perbahasan diadakan kerana apa yang disuarakan itu bukan ada yang kita nak rahsiakan pun” katanya ketika ditemui pemberita selepas taklimat tertutup mengenai tuntutan waris kesultanan Sulu, di Hotel Seri Pacific, di sini, malam semalam.

“Dan pendirian kami dalam isu ini adalah kukuh, bukan sahaja dalam konteks kedaulatan negara tetapi untuk keselamatan negara kita.”

Ujarnya, perbahasan perlu diadakan untuk pengetahuan pada peringkat umum dan pihaknya berpendapat ia bukan hanya melibatkan aspek kedaulatan negara sahaja, tetapi membabitkan soal keselamatan.

“Pendirian kita cukup tegas, bukan dalam konteks kita katakan bahawa perkara ini tentang pergolakan negara, tetapi di samping itu ia membabitkan keselamatan negara.

“Jadi kita mahukan perbahasan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan hasil taklimat itu, Shafie menepisnya sebagai sesuatu yang “biasa”.

Taklimat berlangsung di Hotel Seri Pacific, di sini, bermula 8.30 malam dan berakhir kira-kira jam 11 malam, dengan kebanyakan Ahli Parlimen yang hadir tidak mendedahkan butiran taklimat kerana terikat dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Sesi taklimat secara tertutup itu membabitkan Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Terdahulu, petugas media diarahkan tidak membuat liputan mengenai taklimat tertutup untuk Ahli Parlimen di hotel terbabit dengan alasan terikat OSA.

Beberapa menteri, timbalan menteri serta Ahli Parlimen menghadiri taklimat tertutup yang dikatakan diberikan Wan Junaidi (dua dari kiri) berkaitan tuntutan Kumpulan Sulu di Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur malam ini. – Foto BERNAMA

Seorang pegawai kerajaan mengatakan, wartawan di lokasi juga tidak dibenar menghampiri Ahli Parlimen dengan soalan mengenai taklimat berkenaan, selain menegaskan tiada sidang media akan diadakan mengenainya.

Bagaimanapun, media yang menunggu di hotel terbabit mengenal pasti beberapa menteri yang hadir, antaranya Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Sebelum ini, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menegaskan bahawa tiada keperluan untuk membahaskan tindakan undang-undang yang difailkan waris Kesultanan di Mahkamah Timbang Tara Paris di Perancis secara terbuka di Parlimen negara ini, kerana ia akan menjurus kepada subjudis.

Semalam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sekali lagi menolak usul membincang dan membahaskan isu tuntutan waris Kesultanan Sulu yang dibawa Mohd Shafie selaku Ketua Pembangkang.

Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya berkata, penolakan itu dibuat mengikut peraturan tetap 23 A (23) mana-mana usul yang ditolak di bawah perenggan satu tidak boleh dikemukakan dan tidak boleh dibacakan dalam majlis mesyuarat.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *