Remaja Lelaki Hilang Lima Hari Lalu Ditemukan Lemas

Mangsa ditemui sejauh 7.89 kilometer dari lokasi awal dia dilaporkan hilang. – Foto Bomba

KUALA PENYU : Remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi di pantai sebuah pusat peranginan di Kampung Kenunok, di sini, sejak lima hari lalu, akhirnya ditemukan lemas, malam tadi.

Mangsa, Edward Owan, 17, ditemukan penduduk Kampung Tempurong, sejauh 7.89 kilometer dari lokasi awal mangsa dilaporkan hilang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada ketua Kampung Tempurong, di sini, yang memaklumkan penemuan satu mayat lelaki.

Katanya, mayat berkenaan dilaporkan ditemukan di kawasan pesisiran Pantai Batu Luang, di sini, pada jam 9.55 malam.

“Berdasarkan maklumat berkenaan, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera terus dikerah ke lokasi penemuan.

“Pasukan operasi terus mengambil mayat berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mayat berkenaan disahkan sebagai mangsa selepas proses pengecaman yang dilakukan di hospital oleh keluarganya.

“Operasi kemudiannya ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.56 malam,” katanya.

Dalam kejadian 16 Julai lalu, mangsa dilaporkan bersama enam lagi rakannya berada di pusat peranginan di kampung berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan hilang ketika mandi di pesisir pantai berkenaan sebelum operasi mencari dan menyelamat dijalankan pasukan bomba. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *