Dakwaan Langgar Perintah Kuarantin Fitnah – Peter Anthony

Peter Anthony (tengah) yang didakwa melanggar perintah kuarantin dengan menghadiri majlis keramaian di Limbahau, Papar, tular di media sosial sejak semalam.

KOTA KINABALU: Naib Presiden Warisan, Peter Anthony menafikan beliau melanggar perintah kuarantin dengan menghadiri satu majlis keramaian di Limbahau, Papar, baru-baru ini.

Katanya, dakwaan mengatakan permohonan peguam beliau, D Senthinathan untuk menangguhkan perbicaraan di mahkamah kerana terpaksa menjalani kuarantin adalah palsu juga tidak benar.

”Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan pihak tidak bertanggungjawab yang menularkan maklumat palsu menuduh bahawa perintah kuarantin seperti yang dijelaskan oleh peguam saya kepada mahkamah adalah palsu.

”Untuk makluman, saya menjalani kuarantin bermula 16 April dan mendapat pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan serta pemerhatian di rumah pada 20 April 2021.

”Pelepasan itu juga diberikan selepas saya disahkan negatif Covid-19 dalam ujian kedua yang dilakukan di pusat kuarantin Keningau. Status kesihatan saya juga didapati memuaskan,” katanya di Facebook, semalam.

Dalam pada itu Peter turut memuat naik gambar hasil ujian Covid-19 serta surat pelepasan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) di Facebook beliau.

”Ini sekali gus menjadi bahan bukti bahawa penyebaran maklumat palsu yang ditularkan di platform media sosial semata-mata berniat jahat bertujuan menjatuhkan reputasi dan nama baik saya.

”Semoga dengan penjelasan ini akan menutup fitnah dan menjawab segala persoalan yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Isnin lalu, pendengaran pertuduhan terhadap Peter kerana menggunakan dokumen palsu ditangguhkan oleh Mahkamah Sesyen selepas beliau dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada seorang pesakit Covid-19.

Ketika memohon penangguhan perbicaraan peguam memaklumkan bahawa Peter dikuarantin selama 10 hari bermula 16 hingga 26 April.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan perbicaraan pada 3 dan 4 Mei ini.

Peter turut memuat naik gambar hasil ujian Covid-19 serta surat pelepasan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) di Facebook beliau.

Sebagai pengarah urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, Peter didakwa melakukan pemalsuan surat ke atas pejabat timbalan naib canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan penyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat ia digunakan untuk tujuan menipu di pejabat ketua setiausaha sulit kepada perdana menteri di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen, iaitu surat daripada pejabat timbalan naib canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 yang mempunyai pernyataan palsu pada tajuk surat itu dan beliau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu di tempat dan masa yang sama.

Peter didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda serta Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1419