7 Individu Direman Sertai Perhimpunan Protes PKPD

Kesemua dibawa ke lokap polis selepas mendapat perintah reman di Mahkamah Majistret Tawau, pagi ini. – Foto Facebook

TAWAU: Tujuh individu termasuk aktivis masyarakat direman sehari selepas menyertai perhimpunan memprotes tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Muhibbah Raya, dekat sini, petang semalam.

Majistret Nur Asyraf Bin Zolhani, membenarkan permohonan perintah reman oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, pada 10.15 pagi.

Mereka direman sehingga esok bagi membantu siasatan masing-masing mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 25 Ordinan Darurst 2021 dan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman.

Terdahulu, suspek berusia antara 20-an hingga 40-an itu dilihat tiba di Mahkamah Majistret Tawau pada 9.05 pagi menaiki lori polis dengan memakai baju lokap berwarna ungu.

Turut kelihatan, sekumpulan pemuda dipercayai rakan aktivis terbabit berkumpul di luar mahkamah untuk memberi sokongan moral.

Sementara itu, peguam Raymond Guok Ker Rong yang mewakili semua tertuduh ketika di temui di luar mahkamah memaklumkan pihaknya mengemukakan beberapa alasan untuk menolak perintah tahanan reman berkenaan.

Beliau menjelaskan, kesemua anak guamnya tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri selain tidak dapat keluar daerah berikutan pelaksanaan PKP ketika ini.

Disamping itu katanya, adalah tidak masuk akal untuk menahan suspek di dalam lokap ketika berlakunya lonjakan kes Covid-19 di daerah ini yang akan meningkatkan risiko penyebaran penyakit di ruang terkurung.

Semalam, semua individu berkenaan ditahan polis kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Untuk rekod, Kampung Muhibbah Raya ialah antara lokaliti dikenakan PKPD yang sepatutnya tamat kelmarin tetapi dilanjutkan hingga 8 Mei depan berikutan keadaan peningkatan kes yang signifikan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *