Parti Politik, NGO Kecam Penahanan 6 Aktivis Di Tawau

Tujuh aktivis ditahan kerana mengadakan demonstrasi di Kampung Muhibbah Raya, Tawau baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Beberapa parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengecam tindakan polis yang menahan enam aktivis kerana mengadakan demonstrasi di Kampung Muhibbah Raya, Tawau baru-baru ini.

Setiausaha Agung MUDA, Amir Hadi berkata, penahanan kesemua individu terbabit membuktikan kerajaan hari ini tidak menghormati hak kebebasan bersuara rakyat.

”Selain itu kerajaan juga dilihat gagal dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang mampu mengekang penularan Covid-19 bagi menjaga kebajikan rakyat.

”Saya menggesa pihak polis supaya membebaskan segera kesemua yang ditahan semalam, dan menyelesaikan masalah kebajikan yang dihadapi penduduk.

”Difahamkan Kampung Muhibah diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sejak lebih dua minggu lalu akibat penularan Covid-19.

“Namun mereka tidak diberikan sebarang bantuan kebajikan yang membuatkan kehidupan mereka terkesan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu, Bersih 2.0 turut menyuarakan kebimbangan berhubung tindakan yang diambil membabitkan penahanan tujuh aktivis di Tawau semalam serta artis grafik, Fahmi Reza pada 23 April.

”Tindakan yang diambil kerajaan dilihat mencengkam kebebasan bersuara rakyat dengan dua insiden tangkapan aktivis, iaitu penahanan tujuh aktivis anak muda di Kampung Muhibbah Raya, Tawau, dan Fahmi Reza.

”Tangkapan aktivis selama dua hari berturut-turut ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak menghormati Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kebebasan bersuara rakyat.

”Rakyat bawahan hanya mampu melaungkan suara bagi menyatakan kesusahan dan tuntutan mereka yang semakin hari semakin terhimpit.

“Bantahan rakyat sehingga turun ke jalanan menunjukkan bahawa keadaan semakin terdesak dan kerajaan perlu mendengar suara mereka,” kata jawatankuasa pemandu Bersih 2.0.

Dalam perkembangan sama, pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Sabah (PKPMS) Razeef Rakimin berkata, tujuh aktivis yang ditahan di Tawau tidak melakukan jenayah sebaliknya hanya membawa suara penduduk.

”Bagi saya, polis tidak perlu melakukan penahanan, sebaliknya hanya perlu mengawal suasana memandangkan demonstrasi berkenaan diadakan secara aman serta mematuhi penjarakan sosial.

”Demonstrasi itu simbolik kepada suara penduduk kawasan berkenaan yang mahu kerajaan menghentikan PKPD, seandainya kebajikan penduduk masih tidak dipedulikan.

”Saya ingin menggesa polis supaya melepaskan tujuh aktivis berkenaan yang tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah, melainkan mengekspresi suara hati rakyat yang tidak terbela sepanjang pelaksanaan PKPD,” katanya ketika dihubungi. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *