Gelombang Ke-4 Covid-19 Sedang Melanda Negara, Tegas Pakar Kesihatan

Pakar berkata pengesanan kontak rapat mesti ditambah baik bagi memastikan bilangan jangkitan Covid-19 terus menurun.

KUALA LUMPUR: Walaupun dinafikan pihak berkuasa, pakar kesihatan menegaskan negara kini sedang berdepan gelombang keempat jangkitan Covid-19.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, gelombang keempat bermula pada 1 April lalu, dan beliau meramalkan angka Covid-19 akan melonjak dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

“Gelombang tidak bermula apabila sifar kes dicatatkan. Ia bermula apabila kes merosot kemudian jangkitan dijangka meningkat lagi,” kata Ahli Parlimen Gopeng itu kepada FMT.

Pada 17 April, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, negara masih berdepan gelombang ketiga jangkitan Covid-19.

Kata beliau, gelombang keempat hanya akan berlaku sekiranya jangkitan tempatan ketika gelombang semasa sudah mendatar atau mencatat sifar kes selama beberapa hari sebelum berlaku peningkatan kes baharu secara mendadak.

Menurut Lee, gelombang pertama Covid-19, yang bermula pada 25 Jan hingga 16 Feb tahun lalu, dicetuskan oleh kes pertama di mana tiga pelancong warga China masuk ke Johor dari Singapura.

Ini diikuti oleh gelombang kedua dari 27 Feb hingga 30 Jun tahun lalu, melibatkan kluster Sri Petaling.

Gelombang ketiga pula bermula pada 8 Sept tahun lalu susulan lonjakan kes dari kluster Benteng Lahad Datu di Sabah dan kluster Tembok di Kedah.

Kata Lee, angka jangkitan akan meningkat kerana sistem pengesanan kontak masih lemah.

Ini disebabkan kekurangan tenaga kerja untuk menjalankan pengesanan kontak dan mengasingkan mereka yang dijangkiti dalam tempoh 24 jam, tambah beliau.

“Kecuali dan sehingga ada pembaikan besar dalam kaedah pengesanan kontak, jumlah kes dijangka akan meningkat,” katanya.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Subramaniam Muniandy juga berkata, semua petunjuk menandakan gelombang keempat sudah tiba, “terutamanya sekarang dengan musim perayaan dan rakyat bergerak bebas.”

“Kes-kes meningkat mendadak dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini dan ia dijangka akan meningkat lebih tinggi,” kata beliau kepada FMT.

Tegas beliau, kerajaan perlu mencari jalan untuk mengekang penularan wabak itu.

Kes Covid-19 di Malaysia kekal berada pada paras lebih 2,000 sejak 15 April.

Amaran ahli ekonomi

Sementara itu, ahli ekonomi Yeah Kim Leng berkata, satu lagi sekatan berskala besar akan menyebabkan kadar kemuflisan yang lebih tinggi dalam kalangan perniagaan dan individu.

“Apabila aktiviti penggunaan dikurangkan, ia akan memberi impak yang mendalam terhadap ekonomi kita,” kata beliau.

Selain itu, kata beliau, pengangguran akan berada di tahap paling tinggi dan impak susulan yang menyerang psikologi akan membimbangkan.

Oleh itu, Malaysia tidak mampu melalui satu lagi perintah kawalan pergerakan (PKP) berskala besar.

“Satu-satunya jalan keluar adalah melakukan ujian (saringan) dengan pantas dan mengasingkan kes-kes supaya tiada lagi kluster baharu,” kata beliau.

Beliau berkata, pihak berkuasa kesihatan perlu menghadkan PKP kepada kawasan-kawasan yang lebih kecil.

“Gelombang mana pun yang sedang kita hadapi, kita perlu adakan sekatan bersasar di kawasan sekecil yang boleh tanpa memberi impak terhadap ekonomi,” tambah beliau.

Berkenaan jangkitan di tempat kerja, Yeoh berkata, cara terbaik untuk menanganinya adalah menutup premis terbabit serta-merta bagi membendung penularan jangkitan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *