Hanya 5 Daerah Zon Hijau Di Sabah, Kuala Penyu Kini Zon Kuning

Kadar pematuhan penduduk terhadap prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada hari ini ialah 96.8 peratus.

KOTA KINABALU: Daerah Kuala Penyu di negeri ini bertukar dari zon hijau kepada zon kuning, selepas mencatatkan tiga kes COVID-19 baharu hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ini berikutan itu, kini hanya lima daerah di Sabah masih dikategorikan sebagai zon hijau iaitu Tambunan, Tenom, Kota Marudu, Telupid dan Tongod.

“Jumlah kes positif COVID-19 di Sabah pada hari ini adalah sebanyak 82 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 56,992 kes. Satu kes kematian direkodkan hari ini iaitu di daerah Tawau.

“Daripada 82 kes positif COVID-19, sebanyak 48 kes adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 13 kes saringan bergejala, 14 kes dari kluster sedia ada serta tujuh kes dari lain-lain kategori,” katanya.

Tiga daerah yang mencatatkan pertambahan kes tertinggi ialah Tawau (37 kes), Kota Kinabalu (10 kes) dan Lahad Datu (lapan kes).

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap COVID-19 negeri ini berkata, kadar pematuhan penduduk terhadap prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada hari ini ialah 96.8 peratus.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3375