Ketua Penerangan UPKO Letak Jawatan

Albert Bingkasan

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Pertubuhan Kinabalu Progesif Bersatu (UPKO), Albert Bingkasan meletak jawatan selepas 20 tahun bersama UPKO.

Bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok ini menyerahkan surat peletakan jawatan pada 12 Januari lalu.

Katanya, surat perletakan jawatan itu diserahkan kepada Setiausaha Agung parti, Nelson W.Angang dengan salinan kepada Presiden Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Timbalan Presiden Senator Datuk Donald Mojuntin.

“Pilihan raya negeri Sabah (PRN Sabah) pada September 2020 adalah antara titik hitam dalam kembara saya di gelanggang politik.

“Saya telah memikul tugasan dan melakukan sehabis baik dan yang termampu sebagai ketua penerangan, namun, nyatanya titik peluh itu gagal membantu parti. UPKO kalah 11 daripada 12 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi.

“Justeru, atas rasa rendah hati saya mengundur diri untuk memberikan ruang dan peluang kepada pemimpin lain merajui bahagian penerangan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Albert berkata, peletakan jawatan itu tidak diumumkan tiga bulan lalu kerana beliau masih meletak kepercayaan terhadap UPKO dan beliau masih kekal sebagai ahli UPKO.

Sejak 2001 hingga 2020, Albert juga pernah memegang beberapa jawatan dalam kerajaan termasuk Setiausaha Akhbar kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok; Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; dan Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Perindustrian and Perdagangan Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau. – Utusan

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3994