Warisan Berganding MUDA Lebar Sayap Ke Semenanjung

Presiden Warisan, Shafie Apdal berkata, perlu ada kerjasama dengan belia jika mahu melihat perubahan dalam negara.

KUALA LUMPUR: Warisan akan bekerjasama dengan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), yang diterajui Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi melebarkan sayap ke Semenanjung.

Presidennya, Shafie Apdal, yang sudah menemui Syed Saddiq dan membincangkan perkara itu, berkata sudah tiba masanya belia diberi kepercayaan memimpin negara.

“Kebiasaannya, dalam ketamadunan manusia, perubahan banyak dibawa oleh generasi muda,” kata Ahli Parlimen Semporna itu dalam program bertajuk “Calon PM ke-9 Masih Samar” yang disiarkan langsung menerusi Instagram Live Sinar.

“Kerjasama dengan golongan muda perlu dibuat, jika (kita) ingin melakukan perubahan dalam negara ini.”

Warisan sebelum ini menyuarakan hasrat melebarkan sayap dan bertanding di Semenanjung pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menurut parti itu, keputusan berkenaan dibuat tanpa dipengaruhi mana-mana pihak, termasuk bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

MUDA belum didaftarkan secara rasmi sebagai parti politik dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Ditanya sama ada Warisan sedia bekerjasama dengan Umno di Sabah, Shafie berkata, fokusnya buat masa ini adalah memperkuatkan Warisan terlebih dahulu.

“Tiada ertinya dengan siapa kita hendak bergabung, jika ‘rumah’ kita masih usang, masih tidak menentu.”

Pada 28 Mac lalu, Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin dilaporkan berkata, Umno negeri akan terus bekerjasama dengan PPBM untuk mempertahankan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), walaupun Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu tidak akan bekerjasama dengan PPBM pada PRU15.

Katanya, senario di Semenanjung berbeza dengan Sabah kerana rakyat sudah memberi mandat kepada GRS untuk membentuk kerajaan baharu.

Calon perdana menteri

Mengenai calon perdana menteri, Shafie berkata, terpulang kepada rakyat untuk memilih individu paling layak.

“Soal siapa bakal perdana menteri biar rakyat yang tentukan, bukan pemimpin, bukan saya.”

Katanya, beliau tidak taksub menjadi perdana menteri, tetapi ia mungkin cadangan baik memandangkan belum ada pemimpin Sabah dan Sarawak yang menjadi perdana menteri.

“Sudah 63 tahun negara kita merdeka, tetapi tidak ada seorang pun pemimpin (perdana menteri) dari Sabah atau Sarawak.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *