COVID-19: Pelajar IPTA Cetus Satu Kluster Baharu Di Sabah

Pelajar sebuah IPTA di Sabah mencetuskan satu daripada dua kluster baharu yang direkodkan di Sabah pada Jumaat. – Gambar Hiasan

KOTA KINABALU : Pelajar sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Sabah mencetuskan satu daripada dua kluster baharu yang direkodkan di Sabah pada Jumaat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun yang merupakan jurucakap kerajaan Sabah berkaitan Covid-19 berkata, kes indeks terbabit dikesan positif wabak itu pada 30 Mac melalui saringan bergejala, sekali gus menjadi punca Kluster Batu Lima, Jalan Sibuga, Sandakan.

“Kluster baharu berkenaan menokok satu kes pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak lapan kes. Jangkitan dipercayai menular dalam kalangan pelajar di kelas dan bilik asrama sama.

“Susulan kes itu, 91 pelajar dengan 39 kakitangan institusi berkenaan serta 13 petugas dewan makan telah disaring dan mendapati tujuh orang disahkan positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, satu lagi kluster baharu direkodkan di Sandakan ialah Kluster Sim-Sim yang mempunyai jumlah kumulatif 15 kes setelah mencatat penambahan 14 kes.

Masidi berkata, kes indeks dikesan positif Covid-19 hasil saringan bergejala di sebuah klinik pada 4 April selepas dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis sambutan hari jadi di Flat Sim Sim pada 3 April.

”Daripada 20 ahli keluarga terdekat yang disaring, 14 orang disahkan positif Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata Sabah merekodkan 139 kes positif baharu Covid-19 pada Jumaat menjadikan jumlah kumulatif wabak itu sebanyak 55,539 kes, manakala pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital seramai 52 orang, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di Sabah 54,411. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *