Sarifuddin Nafi 5,000 Ahli WARISAN Sertai BERSATU

Sarifuddin Hata

TAWAU: Ketua Bahagian Parti Warisan Sabah (WARISAN) Kalabakan Sarifuddin Hata menafikan dakwaan 5,000 pengundi yang kebanyakannya ahli WARISAN menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) baru-baru ini.

Beliau berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik Hassan A Gani Pg Amir seolah-olah cuba memberikan gambaran yang salah terhadap angka sokongan ahli WARISAN Sebatik kepada pucuk pimpinan BERSATU.

“Tidak mungkin dia mempunyai sokongan 5,000 orang terutamanya ahli WARISAN kerana dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dia hanya memperolehi 2,665 undi sahaja.

“Kita tidak nafikan memang ada ketua cawangan yang memberikan sokongan terhadapnya, tetapi jumlahnya tidaklah sampai 98 cawangan seperti dalam kenyataannya kelmarin,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, di sini semalam.

Menurutnya, ramai ketua-ketua cawangan WARISAN Kalabakan yang menghubunginya selepas Hassan mengeluarkan kenyataan itu.

“Terdapat juga ketua cawangan yang hairan dan tidak tahu nama mereka dibawa untuk menyertai parti BERSATU baru-baru ini,” katanya.

Sarifuddin turut menasihatkan supaya Hassan berhenti untuk mengeluarkan kenyataan yang tidak benar demi kepentingan politiknya dan meraih sokongan rakyat.

“Namun, saya tidak hairan…sedangkan sumpah yang dibuat boleh diingkari apatah lagi jika ingin meraih sokongan dan simpati rakyat,” katanya.

Terdahulu, Utusan Borneo sebelum ini melaporkan bahawa sebanyak 5,000 pengundi daripada 98 cawangan di DUN Sebatik bersama-sama Hassan menyertai BERSATU pada Isnin lalu.

Namun, Hassan mendakwa tiada paksaan atau ganjaran diberikan kepada ketua-ketua cawangan yang mengikuti jejak langkahnya menyertai BERSATU, semuanya atas kerelaan mereka sendiri. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *