UMNO Sabah, PPBM Terus Kerjasama Demi Pertahan GRS – Bung

KOTA KINABALU: Umno Sabah akan terus bekerjasama dengan PPBM untuk mempertahankan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), meskipun Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Umno tidak akan bekerjasama dengan parti itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin berkata, senario di Semenanjung berbeza dengan Sabah kerana rakyat sudah memberi mandat kepada GRS untuk membentuk kerajaan baharu.

“Di Sabah, Umno bersolidariti dengan GRS kerana ini penting bagi memastikan mandat rakyat pada pilihan raya negeri ke-16 kita terjaga.

“Mereka (rakyat) beri mandat kepada GRS untuk bangunkan Sabah yang ketika ini begitu jauh sekali ketinggalan, tambahan lagi dengan ancaman Covid-19, banyak syarikat, usahawan serta hotel pelancongan gulung tikar,” katanya ketika ditemui di Perhimpunan Agung Umno 2020.

Bung berkata, pihaknya akan memastikan hubungan dengan PPBM tidak terputus di Sabah kerana mahu fokus ke arah membangunkan rakyat dan ekonomi negeri.

Pagi tadi, Zahid dalam ucapan dasarnya sempena PAU2020 berkata, Barisan Nasional (BN) memutuskan akan menghadapi PRU15 secara bersendirian.

Katanya, Umno tidak akan mendukung Perikatan Nasional kerana PPBM berniat menghapus dan menggantikan Umno.

Sementara itu, Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan yakin strategi baharu diumumkan Zahid itu akan memperkasakan Umno, sekali gus kembali menjadi parti dominan untuk memenangi PRU15.

“Saya mewakili Umno Sabah sedar parti ini dalam keadaan tidak begitu stabil, ekoran kekalahan lalu yang telah membawa sedikit perubahan kepada Umno.

“Sebab itu, pemimpin Umno di semua peringkat, termasuk ahli Umno peringkat akar umbi perlu memperkasakan parti, menggunakan strategi baharu untuk memenangi hati rakyat.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *