Pematuhan SOP Di Sabah Semakin Baik

KOTA KINABALU: Kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Sabah, semakin baik dengan purata keseluruhan 97 peratus, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata dua daerah mencatat pematuhan tertinggi sebanyak 98 peratus hari ini, iaitu Semporna dan Sipitang.

Katanya, daerah Keningau dan Kota Belud pula merekodkan kadar pematuhan SOP yang terendah hari ini, masing-masing hanya mencatat 95.5 peratus.

“Tiga daerah iaitu Kinabatangan, Tawau dan Tenom mencatat kadar pematuhan sebanyak 96 peratus, manakala 12 daerah mencatat pematuhan 97 peratus.

“Daerah terbabit ialah Sandakan, Kota Kinabalu, Kunak, Lahad Datu, Beluran, Beaufort, Penampang, Ranau, Kudat, Papar, Kota Marudu dan Tuaran,” katanya dalam kenyataan media perkembangan semasa COVID-19 Sabah, di sini, malam ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata hari ini sebanyak sembilan kompaun dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), berkaitan kegagalan mematuhi SOP dengan semuanya dilaporkan di Keningau.

Katanya, kebanyakan kesalahan yang dilakukan berkaitan kegagalan mematuhi penjarakan fizikal yang ditetapkan pihak berkuasa.

Sementara itu, Sabah hari ini hanya mencatat 38 kes baharu COVID-19 dengan semua daerah mencatat kes satu angka dan tiada pertambahan zon merah.

“Daerah dalam zon merah kekal lima iaitu Keningau, Nabawan, Tawau, Kota Kinabalu dan Kota Belud, manakala empat daerah dalam zon jingga dan 14 daerah dalam zon kuning.

“Daerah dalam zon hijau juga masih empat iaitu Tongod, Kuala Penyu, Pitas dan Ranau,” katanya.

Masidi berkata, seramai 44 pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh di Sabah hari ini, manakala seramai 430 orang lagi masih dirawat di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Dalam pada itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Nabawan yang dilaksanakan sejak awal bulan ini akan ditamatkan lusa seperti dijadualkan.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa kes COVID-19 di daerah itu yang menunjukkan penurunan, manakala kluster sedia ada terkawal dengan hanya satu kes baharu dilaporkan pada 26 Mac.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan negeri bersetuju untuk menamatkan PKP di Nabawan pada 30 Mac seperti yang dijadualkan,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *