Terus Sokong GRS Demi Pembangunan Sabah – Bung Moktar

KENINGAU: Rakyat di negeri ini disaran untuk terus menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam memastikan kestabilan politik di Sabah dapat dikekalkan demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, biarpun belum sampai setahun kerajaan GRS mengambil alih tapuk pemerintahan di negeri ini namun, pelbagai usaha dan inisiatif telah dilakukan untuk membantu rakyat serta membangunkan negeri ini.

Menteri Kerja Raya ini berkata, kerajaan negeri telah membentangkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (Pelan SMJ) 2021-2025, iaitu kerangka hala tuju dan strategi bagi terus memacu ekonomi negeri dan sosio-ekonomi rakyat.

“Sebaik sahaja kerajaan GRS mengambil alih pemerintahan sejak  29 September  tahun lepas, kita berhadapan realiti dan kedudukan ekonomi yang amat mencabar.

“Dengan itu, kerajaan perlu bertindak segera untuk menangani penyusutan pertumbuhan sektor serta subsektor tertentu,” katanya semasa berucap dalam Majlis Makan Malam bersama pemimpin GRS, di sini baru-baru ini.

Sehubungan itu, Bung mengajak pemimpin dan rakyat mempertahankan memontum kerjasama bagi mempastikan apa juga yang dirancang oleh kerajaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Menurutnya, sudah tiba masanya bagi semua pihak bekerja keras membangunkan negeri ini dan mengenepikan soal politik kerana Sabah sudah jauh ketinggalan dari segi pembangunan.

“Diperingkat Pusat, kita sudah mengadakan pilihan raya umum sebanyak 14 kali dan di Sarawak baru 11 kali, tapi kita di Sabah sudah 16 kali. Jadi, banyak masa  dihabiskan untuk pilihan raya menyebabkan kita hilang fokas untuk membangunkan negeri,” ujarnya.

Beliau berkata, kedudukan sosio-ekonomi rakyat perlu diberi keutamaan.

Atas sebab itu, melalui Pelan SMJ, mereka menggariskan tiga elemen utama iaitu sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan sebagai fokus pertumbuhan ekonomi; modal insan dan kesejahteraan rakyat; serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.

Mengulas lanjut, Bung berkata, kerajaan persekutuan juga telah meluluskan sejumlah RM600 juta bagi pembinaan jalan menghubungkan Serudong di Kalabakan, Tawau dengan Simanggaris, Kalimantan Indonesia yang dijangka akan membawa perubahan besar dalam memacu sektor ekonomi negeri.

“Justeru, rakyat perlu bersedia merebut peluang yang ada terutamanya dalam sektor pelancongan dengan menghasilkan produk-produk yang boleh dipasarkan kepada pelancong terutamanya dari Indonesia apabila projek lebuh raya ini siap dilaksanakan,” jelasnya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *