Mangsa Kebakaran Pulau Gaya Terima Bantuan Kerajaan – Hajiji

KOTA KINABALU: Semua mangsa kebakaran Kampung Lok Urai, Pulau Gaya menerima bantuan daripada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, hari ini kerajaan negeri menyampaikan bantuan bakul makanan serta wang tunai RM500 kepada semua mangsa yang terjejas akibat kebakaran yang berlaku di kampung tersebut pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, pemberian bantuan itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan bebanan mangsa kebakaran.

Untuk penerima di dewan ini, seramai 65 orang ketua isi rumah menerima bantuan tersebut dan selebihnya akan diserahkan kepada keluarga yang turut terjejas.

Bagi penempatan semula mangsa-mangsa kebakaran, kerajaan akan melihat semula kaedah untuk membantu mangsa terjejas kerana mereka ini rakyat Malaysia.

“Kita akan mencari jalan untuk membantu mereka supaya mereka dapat tinggal di rumah yang selesa bersama keluarga,” katanya semasa Majlis Penyerahan Bantuan kepada mangsa-mangsa kebakaran Kg Lok Urai, Pulau Gaya, di Dewan Serbaguna Sembulan, hari ini.

Ditanya tentang usaha membangunkan semula kawasan tersebut, Hajiji berkata, kerajaan akan melihat dan mengkaji tentang usaha pembangunan semula kawasan yang terjejas kebakaran itu.

Kebakaran di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya berlaku kira-kira 8 malam pada 12 Mac dan ia mengakibatkan 73 buah rumah musnah terbakar dan ia membabitkan hampir 200 orang hilang tempat tinggal. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *