ADUN Sebatik Nafi Terima Imbuhan RM10 Juta Keluar Parti

ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir.

KALABAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir, menafikan dakwaan menerima imbuhan sehingga RM10 juta untuk bertindak keluar Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Beliau berkata, keputusan keluar parti dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibuat tanpa paksaan atau tawaran, sebaliknya demi kepentingan rakyat terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik.

“Dakwaan ini (mendapat imbuhan) satu dakwaan liar, saya sudah jelaskan tindakan keluar parti ini tidak mengubah langsung landskap politik termasuk menjadi penentu pembentukan kerajaan, jika terima tawaran memang tidak ada,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Hassan yang ditemui di Kampung Rancangan Kalabakan bagi bertemu pemimpin akar umbi dan rakyat berkata, pertemuan itu bagi menjelaskan keadaan sebenar berhubung tindakannya menjadi ADUN Bebas yang menyokong kepimpinan kerajaan.

“Kita sanggup terima cemuhan atau kata-kata tidak baik daripada netizen, korbankan maruah (sendiri) demi rakyat.

“Saya juga akan turun padang ke Pulau Sebatik dan tujuh Pusat Daerah Mengundi (PDM) lain untuk memberikan penerangan,” katanya.

Mengulas tindakan Speaker DUN, Datuk Kadzim M Yahya yang menolak surat peletakan jawatan ADUN Sebatik yang diserahkan WARISAN, Hassan berkata, ia dibuat berlandaskan peruntukan perundangan sedia ada.

“Saya tandatangan surat itu (peletakan jawatan) sebelum menerima watikah sebagai calon, ketika itu saya tiada pilihan dan itu juga berlaku dengan calon lain yang menandatangani surat serta membaca aku janji.

“Surat ini selain tiada tarikh (ketika ditandatangani), ia hanya terdapat tandatangan saya sendiri tanpa membabitkan pihak kedua dan ini bermakna, saya boleh membatalkan surat itu sendiri tanpa perlu membabitkan pihak kedua,” katanya.

Pada 25 Februari lalu, Hassan mengumumkan keluar WARISAN kerana kecewa dengan kepimpinan parti itu yang dilihatnya lebih mengutamakan kepentingan politik berbanding isu rakyat yang terbeban dengan penularan COVID-19. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *