Bung Moktar Yakin Sabah FC Mampu Bangkit

Bung Moktar menerima jersi yang digunakan Sabah FC daripada pengurus pasukan Sabah FC Ahmad Marzuki Nasir di pejabatnya baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin yakin pasukan Sabah Football Club (FC) mampu bangkit daripada kekalahan kepada PJ City di Stadium Likas, semalam.

Katanya, skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto itu masih mempunyai masa untuk perbaiki kelemahan yang ada seterusnya menjadi lebih baik dalam saingan Liga Super musim ini.

“Tiada mana-mana pihak boleh dipersalahkan selepas kita tewas tipis 0-1 kepada pasukan pelawat PJ City FC di halaman sendiri, semalam.

“Saya pun ada mengikuti perlawanan itu namun saya tidak menyalahkan mana-mana pihak tetapi saya yakin kita masih boleh perbaiki kelemahan yang ada,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata, barisan pemain import yang diturunkan dalam perlawanan itu hanya berpeluang menjalani latihan sehari bersama pasukan dan masa yang singkat itu menyukarkan mereka melakukan penyesuaian.

“Selain itu, pasukan kita juga baru menjalani latihan disebabkan kekangan wabak Covid-19 berbanding pasukan-pasukan lain yang sudah berlatih sejak tahun lalu.

“Keadaan ini yang kita hadapi tetapi saya yakin pasukan akan dapat melakukan penyesuaian dalam dua atau tiga lagi perlawanan untuk membentuk persefahaman dalam pasukan,” katanya.

Pada perlawanan semalam, gol tunggal Darren Lok pada minit ke-52 mengesahkan tiga mata menjadi milik PJ City walaupun secara keseluruhan skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto itu menguasai permainan.

Gol itu berpunca hasil sepakan kurang kemas dilakukan pertahanan import Sabah FC, Ristro Mitrevski yang menuju ke pintu gol sendiri seterusnya terkena tiang dan Darren kemudian berada di posisi baik untuk melakukan penyudah. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *