Cikgu Aben Belajar Bahasa Dusun Demi Dekati Murid

Muhamad Haikal Sa’ari atau lebih dikenali sebagai ‘Cikgu Aben’. – Gambar Facebook Cikgu Aben

KUALA LUMPUR: Kisah orang luar jatuh cinta dengan Sabah mungkin sudah sering kita dengar. Tak dinafikan sukar untuk tidak jatuh hati dengan kepelbagaian serta keunikan alam, bangsa dan budaya Sabah yang mempunyai daya tarikan tersendiri.

Rasa kagum ini juga yang mendorong seorang guru berasal dari Sik, Kedah mempelajari bahasa tempatan Sabah yang terkenal rumit selain keinginan beliau untuk melaksanakan kewajipan sebagai pendidik dengan lebih efektif.

Muhamad Haikal Sa’ari atau lebih dikenali sebagai Cikgu Aben, 29, tidak menafikan pada mulanya agak risau untuk berhijrah ke Sabah namun persepsi guru Bahasa Inggeris itu berubah 180 darjah selepas menjejakkan kaki di negeri di bawah bayu itu pada tahun 2015.

Ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kibubuk, Pitas di Kota Marudu sejak empat tahun lalu, banyak perkara baharu yang dipelajari, salah satu daripadanya adalah bahasa Sabah.

“Pelajar lebih selesa menggunakan bahasa ibunda mereka. Kalau saya menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya, itu akan membuatkan semacam ada halangan besar, jadi saya mengambil inisiatif sendiri untuk belajar dan faham bahasa Dusun Kimaragang.

“Contohnya, hari itu saya cakap ‘sit down‘ tapi ada yang kurang faham.. Apabila saya kata “mogom-mogom koh” (sila duduk) mereka faham. Apabila kita faham bahasa mereka, murid akan rasa senang dekat dengan kita. Jadi proses pengajaran pun akan jadi lebih mudah,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjadikan lagu tempatan sebagai asas untuk memahami bahasa Dusun yang dikenali mempunyai pelbagai cabang dan loghat mengikut daerah di Sabah,

“Saya belajar bahasa Sabah melalui lagu tempatan. Lagu pertama yang saya dengar adalah lagu ‘Id Pagandadan’ oleh penyanyi tempatan Fabian William. Saya tengok bait-bait lirik itu dan mencatat apa maksud lirik tersebut. Sedikit demi sedikit, saya akan mula faham di samping dapat menghayati lagu yang disampaikan,” katanya.

Biarpun belum cukup fasih, kelebihan memahami beberapa bahasa Sabah – antaranya bahasa Dusun, Dusun Kimaragang, Dusun Tombonuo, Bajau, Murut dan Bugis, adalah dapat merapatkan jurang dengan murid-muridnya ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

“Saya menganggap murid saya itu sebagai guru saya. Asal ada benda yang saya kurang faham (bahasa), saya terus bertanya dan mereka sudi mengajar. Ini juga membuatkan saya tidak merasa seperti orang luar dalam kalangan mereka,

“Lagipun sekarang ini kita mahu pembelajaran berpusatkan murid. Bukan sekadar saya mengajar di hadapan, tetapi murid menghadam sahaja. Saya tidak mahu begitu, murid mudah faham itu yang lebih penting bagi saya sebagai seorang guru,” kata bapa kepada dua orang anak itu.

Kepetahan Cikgu Aben berbahasa etnik Sabah dan menggunakannya sebagai bahasa perbualan seharian serta kemampuannya menyanyikan lagu dalam bahasa tempatan juga membuatkan anak bongsu daripada tiga beradik ini terkenal di media sosial.

Laman Facebook dan Youtube “Cikgu Aben” masing-masing memiliki kira-kira 54,0000 pengikut dan 20,400 ‘subcribers’.

Malah beliau juga sudah merakam semula beberapa lagu Dusun berentak Sumazau.

“Lagu pertama yang saya cover ialah lagu Id Pagandadan, Tupusku, Oroton ku Yak, dan saya buka satu Facebook page iaitu “Cikgu Aben” dan memuatnaik lagu-lagu tersebut di page itu. Tak sangka ia tular sampai beratus ribu orang tengok. Terasa terharu atas sokongan yang diberikan,” katanya.

Tanpa latar belakang muzik atau sebarang kelas vokal, Cikgu Aben mengakui terdapat banyak kelemahan dalam bidang nyanyian dan tidak menganggap dirinya artis atau selebriti.

“Saya cuma seorang guru biasa yang suka menyanyi, itu sahaja. Saya dekat dengan anak-anak murid dan menyahut cabaran mereka menyanyikan lagu-lagu Sabah,” katanya yang turut bertemu jodoh dengan wanita Sabah.

Selain memanfaatkan hobinya dalam menyampaikan lagu dalam pelbagai bahasa etnik Sabah, akaun Youtubenya juga dijadikannya sebagai wadah mempamerkan keindahan dan keunikan negeri itu agar orang luar tahu pelbagai keistimewaan yang ada di Borneo.

“Sekali kamu pergi ke Sabah, kamu susah mahu balik itu,” katanya sambil tertawa. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *