DUN Pitas Sedia Dua Van Jenazah Untuk Kegunaan Awam

KOTA KINABALU: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas menyediakan dua van jenazah untuk kegunaan awam membabitkan masyarakat Islam dan bukan Islam.

ADUN Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah berkata, kedua-dua van berkenaan adalah hasil inisiatif Pejabat DUN dan sumbangan Mercu DGSB Sdn Bhd untuk kegunaan sesiapa saja yang memerlukan bantuan pengurusan keluarga meninggal dunia.

Katanya, van berkenaan dijangka akan diterima pejabat DUN secara rasmi selewat-lewatnya 26 Mac depan dan sedia digunakan selepas itu.

“Dua van jenazah yang dijanjikan sudah diambil dari syarikat pembekal kereta dan kini dihantar ke bengkel bagi kerja-kerja pengubahsuaian.

“Van ini akan ditempatkan di pejabat DUN Pitas dan boleh digunakan oleh sesiapa saja yang memerlukan untuk pengurusan pengkebumian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ruddy berkata, masyarakat yang memerlukan bantuan ini hanya perlu menghubungi pejabat DUN bagi memaklumkan lokasi dan masa pengurusan jenazah.

Katanya, sebarang maklumat mengenai kemudahan itu akan diumumkan sebaik majlis penyerahan kelak. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *