Sedih! Anak Gajah Nita Terpaksa Dimatikan

Nita mengalami kecederaan dan luka di seluruh badannya selain menderita jangkitan penyakit pada tali pusat dan kaki. – BERNAMA

KINABATANGAN: Seekor anak gajah yang diselamatkan ketika berusia sebulan, terpaksa dimatikan dua minggu lepas melalui kaedah suntikan ubat (eutanasia) kerana mengalami komplikasi serius susulan kecederaan yang dialaminya, sebelum ini.

Anak gajah yang diberi nama Nita itu, mengalami kecederaan dan luka di seluruh badannya selain menderita jangkitan penyakit pada tali pusat dan kakinya.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga berkata Nita diselamatkan pada Ogos 2019 di ladang kelapa sawit di Tawau oleh Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU), Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL), sebelum dibawa ke Borneo Elephant Sanctuary, dekat sini.

“Pada awal tahun ini, Nita didapati tempang ketika berada di dalam kandangnya dan disahkan melalui gambaran radiograf.

“Malangnya, tulang belakangnya juga didapati patah dan bertambah teruk berdasarkan gambaran itu dan Nita didiagnosis bilateral supracondylar’ fracture” atau mengalami keretakan femur (tulang paha) pada kedua-dua kaki belakang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Tuuga, doktor haiwan melakukan prosedur untuk meletakkan alat penyokong gentian kaca pada anggota badannya dengan harapan usaha itu dapat memperbaiki kecederaan pada tulangnya, selain mendapat pandangan daripada pasukan pakar ortopedik dari Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

“Walaupun rawatan intensif diberikan, Nita masih belum dapat disembuhkan malah keadaannya bertambah teruk sehingga menjejaskan kebajikannya.

“Keretakan yang dialaminya tidak dapat dipulihkan dan doktor haiwan perlu membuat keputusan paling sukar demi untuk menamatkan penderitaan yang dialaminya. Kami bersedih atas kematian haiwan jagaan kami yang comel ini,” katanya.

Doktor yang merawat Nita, Dr Sen Nathan turut menzahirkan rasa sedih dengan keputusan untuk menawatkan riwayat anak gajah itu melalui suntikan ubat (eutanasia) dan menganggap beliau dan pasukannya telah gagal dalam misi menyelamatkan haiwan berkenaan.

“Walaupun kita telah melakukan yang terbaik, kadang-kadang kita juga gagal dalam usaha kita,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *