2 Gol Pukki Lonjak Norwich

Pukki meraikan jaringannya.

LONDON: Teemu Pukki meledak dua gol untuk membantu Norwich selesa dengan kelebihan 10 mata di tangga teratas Liga Kejuaraan selepas menewaskan Birmingham 3-1 di St Andrew hari ini.

Pukki menjaringkan gol pertama dan turut terlepas menyempurnakan sepakan penalti sebelum Ivan Sanchez menyamakan kedudukan untuk tuan rumah.

Penyerang Finland itu menebus kesilapannya dengan gol kedua sekali gus yang keenam pada empat perlawanan terakhir, 14 minit sebelum tamat perlawanan.

Oliver Skipp melengkapkan kemenangan Norwich dengan menyumbang gol ketiga.

Brentford, Watford dan Swansea kesemuanya masih kurang satu perlawanan namun Norwich di bawah bimbingan Daniel Farke kini berada di landasan tepat untuk kembali beraksi di Liga Perdana Inggeris.

Sementara itu, Wayne Rooney meneruskan rekod cemerlang selaku pengurus Derby selepas anak buahnya mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Huddersfield.

Derby menduduki tercorot ketika bekas kapten England dan Manchester United itu mengambil tugas sementara selaku pengurus pada November tahun lalu sebelum ditawarkan jawatan tetap bermula bulan lalu.

Kemenangan keempat berturut-turut di tempat sendiri itu menyaksikan Derby kini melonjak di tangga ke-18. – AFP

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1290