‘Saya Boleh Kembali Kepada UMNO’ – Tun Mahathir

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau boleh kembali kepada UMNO.

Begitupun, ia hanyalah sekiranya UMNO kembali berpegang kepada dasar awalnya iaitu berjuang untuk bangsa, negara dan agama.

“Saya boleh kembali kepada UMNO tapi orang yang ‘penyangak-penyangak’ semua minta maaflah, saya tak boleh bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Bersama Tun M’ yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar anjuran Sinar Harian pada Rabu.

Beliau turut mengakui masih sayangkan UMNO apatah lagi pernah menjadi presiden selama 22 tahun namun sayang itu tidak kepada pemimpinnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan beliau sudah mengambil keputusan untuk berehat daripada politik selepas meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003.

“Apabila saya letak jawatan pada tahun 2003, saya pun berharap akan dapat berehat, mungkin enjoy live sikit pergi jalan sana-sini tetapi selepas seminggu saya letak jawatan (ada) orang datang minta (tolong).

“Tun tolonglah buat sesuatu kerana mereka berpendapat bahawa yang menjadi Perdana Menteri ketika itu tidak menjalankan tugas dengan baik. Satu minggu sahaja sudah nampak berlainan keadaan (nya).

“Jadi mereka datang dan (seterusnya) rombongan demi rombongan datang minta saya buat sesuatu. Bagi saya, saya cuba nasihat (pemimpin terbabit) tapi nasihat tidak berkesan,” katanya.

Menurutnya, beliau akhirnya mengambil keputusan untuk keluar daripada UMNO supaya mudah untuk menegur salah laku kerajaan.

“Akhirnya saya terpaksa keluar daripada parti (UMNO) dan menentang kerajaan (UMNO ketika itu),” katanya lagi. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *