Polis Berhak Tahan Individu Tak Bawa Kad Pengenalan

KUALA LUMPUR: Polis berhak menangkap individu yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika diperiksa, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Ini sekali gus menyangkal dakwaan laporan sebuah portal berita bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak berhak menahan mana-mana individu yang gagal membawa atau mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika diperiksa.

Menurut Acryl Sani, kenyataan itu jelas bercanggah dengan peruntukan mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara (PPPN) 1990.

“Kegagalan mana-mana individu mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika diperiksa oleh pihak polis adalah satu kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(n) PPPN 1990.

“Justeru, mereka yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri boleh ditangkap tanpa waran mengikut peraturan yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, hukuman yang boleh dikenakan adalah penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

“Orang ramai diingatkan sentiasa membawa dokumen pengenalan diri sebagaimana peruntukan yang ditetapkan mengikut Peraturan 6 PPPN 1990.

“PDRM juga menasihatkan orang ramai supaya memberi kerjasama kepada pihak polis semasa pemeriksaan dijalankan,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *