PGA Sabah Rampas Minuman Keras, Rokok & Mercun Seludup Bernilai RM2.9 Juta

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten KomisionerMohd Abduh Ismail (tiga dari kiri) menunjukkan rokok, mercun yang dirampas. – Foto Juwan Riduan

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah merampas sembilan kontena berisi minuman keras, rokok dan mercun bernilai RM2.9 juta yang disyaki diseludup di kawasan Towering, Penampang, semalam.

Dalam operasi jam 6.30 petang itu, pasukan PGA melakukan pemantauan selama empat jam sebelum menyerbu masuk ke bangunan rumah kedai dan menahan empat individu.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail, berkata mereka yang ditahan ialah seorang wanita berusia 39 tahun. bersama tiga lelaki berusia 18 hingga 28 tahun yang dipercayai pekerja sindiket berkenaan.

Pelbagai jenis minuman keras antara barang dipercayai diseludup yang dirampas dalam serbuan di kawasan Towering, Penampang semalam. (Gambar PGA Sabah)

Katanya, pemeriksaan di bangunan rumah kedai berkenaan kemudian membawa kepada penemuan pelbagai jenis minuman keras yang disyaki diseludup masuk.

“Hasil soal siasat, keempat-empat tahanan kemudian menunjukkan sembilan lori yang dijadikan tempat penyimpanan rokok, mercun dan pelbagai jenis minuman keras untuk diedarkan di Penampang.

“Semua individu terbabit bersama barangan rampasan kemudian diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media, petang tadi.

Mohd Abduh berkata, individu yang ditahan membabitkan seorang wanita tempatan bersama tiga lelaki warga Filipina tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, rampasan membabitkan pelbagai jenis rokok bernilai RM1.15 juta, minuman keras (RM950,000) dan mercun, RM15,800.

“Selain itu, nilai kenderaan yang dirampas dianggarkan antara RM200,000 hingga RM300,000 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM2.9 juta,” katanya.

Mohd Abduh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *