Program Ebit Lew Dihentikan Atas Faktor Keselamatan

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali

KOTA KINABALU: Program Ustaz Ebit Lew di kawasan sekitar pulau di Semporna terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, lokasi terbabit dikenakan perintah kawalan berkurung dan keselamatan orang ramai menjadi keutamaan pihak berkuasa.

“Perintah berkurung dilaksanakan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

“Ia tiada kena mengena dengan program yang dianjurkan sukarelawan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di mana-mana kawasan di negeri ini.

“Cuma kita minta beliau (Ebit Lew) rujuk dengan pihak berwajib, ia adalah bagi mengenalpasti status pulau dan penduduk terbabit,” katanya hari ini.

Menurut Hazani, polis mengalu-alukan kerjasama mana-mana NGO untuk menganjurkan program amal kebajikan bagi membantu golongan memerlukan.

Bagaimanapun, menurut Hazani, mereka digalakkan untuk merujuk dengan pihak berkuasa seperti polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terlebih dahulu atas faktor keselamatan semata-mata.

“Kita tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau tindakan untuk menghalang program yang dianjurkan oleh pihak sukarelawan,” katanya.

Terdahulu, kenyataan Ebit Lew tular di media sosial yang mendakwa terpaksa menghentikan misi bantuan kerana tidak dibenarkan melawat ke pulau-pulau sekitar Semporna. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *