Rahman Dahlan Ganti Shafie Jadi Pro-Canselor UMS

Hajiji Noor (tengah) dengan Abdul Rahman Dahlan (kiri) dan Taufiq Yap di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan akan menggantikan bekas ketua menteri Sabah, Shafie Apdal sebagai pro-canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bekas menteri persekutuan itu berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor di Pusat Pentadbiran negeri Sabah, di sini. Turut hadir Naib Canselor UMS, Taufiq Yap Yun Hin.

Rahman berkata, beliau turut dilantik sebagai pengerusi baru lembaga pengarah UMS.

Hajiji Noor (kiri) bercakap dengan Abdul Rahman Dahlan (tengah) dan Taufiq Yap di Kota Kinabalu hari ini. (Gambar Pejabat Ketua Menteri)

UMS mempunyai dua pro-canselor, dengan seorang lagi ialah Pengerusi Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian, Azman Hashim.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat ketua menteri, Rahman memberitahu Hajiji yang beliau akan menerima surat pelantikannya dari Gabenor Sabah, Juhar Mahiruddin, tidak lama lagi.

Sementara itu, Rahman dan Taufiq turut memberi penjelasan kepada Hajiji berhubung perkembangan dan cabaran terkini yang dihadapi UMS.

Ini termasuk tempat tinggal pelajar dan status bangunan Hospital Pintar UMS yang ditangguhkan kerana Covid-19.

Rahman turut menyuarakan hasrat universiti itu bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi negeri sebagai penasihat sains dan teknologinya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *