Komuniti Bajau Laut Yang Baru Peluk Islam Akan Dibimbing

Ebit berikrar, akan terus membantu penduduk di kawasan tersebut dan sedang berikhtiar untuk membina sekolah serta menyediakan ustaz untuk mengajar mereka. – Facebook Ebit Lew

TUMPAT: Kerajaan akan menghantar ustaz bertauliah ke Sabah bagi membimbing komuniti Bajau Laut yang baru memeluk Islam hasil bantuan aktivis serta pendakwah terkenal, Ebit Lew.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata kerajaan sentiasa memberi bantuan dan bimbingan setiap kali ada pihak yang baru memeluk Islam.

“Setiap kali ada orang masuk Islam, kita akan hantar penggerak ataupun petugas dakwah untuk kita bimbing, contohnya masyarakat Orang Asli.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

“Kita ada penggerak iaitu ustaz bertauliah dan berkaliber untuk terus berada dengan kelompok berkenaan bagi memberikan bimbingan termasuk di Sabah, penduduk Bajau Laut itu.

“Kerajaan akan bantu dari aspek bimbingan keagamaan untuk memahami secara mendalam berhubung Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan Tabung Musaadah COVID-19 JAKIM-Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) di Hospital Tumpat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai 150 penduduk Bajau Laut di Sabah yang memeluk Islam.

Semalam, Ebite Lew meluahkan rasa gembira selepas 157 orang mengucap dua kalimah syahadah pada sebelah petang.

“Ya Allah menangis saya hari ini gembira. Seramai 157 orang mengucap syahadah. Satu kampung memeluk Islam petang ini.

“Semuanya dengan rela tanpa paksaan memeluk Islam. Mereka tiada kepercayaan agama. Dari suku Bajau Laut Semporna Sabah atau digelar gipsi laut.

“Mereka tinggal dalam bot atau pondok kecil atas laut,” katanya menerusi media sosial. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *