Bunyi Letupan Kuat Di Sabah & Labuan Masih Misteri

Penduduk di beberapa daerah di Sabah dikejutkan dengan bunyi letupan kuat dalam kejadian kira-kira 11 pagi tadi.

BEAUFORT: Bunyi letupan kuat didengari di beberapa daerah termasuk Wilayan Persekutuan Labuan, Beaufort, Sipitang, Membakut, Kuala Penyu dan kawasan sekitarnya masih misteri kerana belum ada pihak membuat laporan berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Beaufort Azmir Abd Razak ketika dihubungi mengesahkan belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian berlaku di sekitar Beaufort dan Sipitang kira-kira 11 pagi tadi.

Beliau sudah berhubung dengan ketua polis daerah Sipitang dan Wilayah Persekutuan Labuan dan setakat ini tiada laporan mengenainya diterima.

Katanya, siasatan awal bagi mengesan punca bunyi sudah dibuat namun jika polis mengetahui lokasi kejadian dan laporan dibuat barulah siasatan rasmi akan dibuka.

“Selagi kita tidak tahu di mana lokasi (letupan), selagi itu kertas siasatan tidak dapat dibuka kerana dalam peruntukan undang-undang, kita kena tahu lokasi kejadian barulah menjadi tanggungjawab ketua polis daerah mengarahkan siasatan dibuka,” katanya.

Sementara itu, pegawai perhubungan awam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menafikan bunyi letupan kuat itu berkaitan latihan perang Borneo pihaknya.

Katanya, latihan perang Borneo itu dilaksanakan pada 28 Jan lalu.

Kejadian itu tular di media sosial hari ini dengan beberapa pengguna Facebook memuat naik status mendakwa satu letupan kuat berlaku sehingga didengari di beberapa daerah di Sabah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *