Tiada Harapan Temui Mangsa Terselamat

Pasukan meletakkan beg mayat berisi mayat manusia yang ditemui dari lokasi nahas penerbangan Sriwijaya Air SJ182 di pelabuhan di Jakarta. Foto AFP

JAKARTA: Penyelam membawa naik serpihan bangkai pesawat, dan pakaian dari kawasan perairan Indonesia, pada Ahad, di lokasi nahas pesawat Sriwijaya Air yang mengorbankan 62 penumpang dan anak kapal.

Pasukan tentera sudah menemui isyarat dan berharap dapat menemui pesawat malang berkenaan.

Pesawat Sriwijaya Air Boeing 737-500 menjunam ke dasar laut selepas empat minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, di sini, pada Sabtu.

Kapal tentera sudah mengesan isyarat dari pesawat berkenaan dan penyelam sedang mencari serpihan pesawat yang berada pada kedalaman 23 meter di dalam laut, kata Kementerian Pengangkutan Indonesia, pada Ahad.

Kementerian itu bagaimanapun tidak memaklumkan secara lengkap sama ada isyarat diterima itu daripada kotak hitam pesawat.

Pencarian yang dijalankan juga mendapati tiada harapan untuk menemui penumpang yang masih hidup.

“Beberapa bahagian tubuh sudah ditemui dan dibawa ke hospital untuk pengesahan lanjut.

“Kami juga belum dapat mengesahkan sama ada cebisan tubuh itu daripada individu yang sama,” kata jurucakap polis Jakarta, Yusri Yunus kepada AFP.

Seluar kanak-kanak, serpihan tayar pecah, jaket keselamatan antara barang yang ditemui menurut pihak berkuasa.

Pesawat dengan pendaftaran SJ182 dalam penerbangan menuju Pontianak di Kalimantan, dengan masa perjalanan selama 90 minit merentasi Laut Jawa. – AFP

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4232