ESSCOM Keluar Senarai 21 Penjenayah Dikehendaki

LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mengeluarkan senarai terkini 21 penjenayah rentas sempadan dikehendaki di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) termasuk lima nama baharu.

Komander ESSCom, Datuk Ahmad Fuad Othman dalam satu kenyataan hari ini, berkata kesemua suspek dikehendaki itu adalah warga asing dan mempunyai kaitan atau terbabit dalam jenayah termasuk penculikan yang berlaku di ESSZone.

Komander ESSCom, Datuk Ahmad Fuad Othman

Katanya, lima suspek baharu yang disenaraikan ESSCom itu ialah Japs @ Mujafar Sawadjaan; Mujimmar Sawadjaan; Mundi Sawadjaan; Hj Wahad @ Talib serta Barah Udong @ Elvin.

Nama lain yang disenaraikan ialah Apo Mike @ Majan Sahidjuan; Al Munjir Yadah; Salip Mura; Raden Abuh; Marajan @ Manajan Asiri; Sangbas Parisko; Hamsan Pakkan @ Black Cobra; Sabri Madrasul @ Salip Jul; Ben Tatoh Quirino; Jul @ Jul Hasan; Jul Aksan Abdurajan @ Halimaw; Tampi @ Bunju; Long Sahirin; Haibin Mubin @ Apo Kuhambo; Halipa dan Basaron Arok.

Ahmad Fuad berkata senarai nama penjenayah dikehendaki itu dikemas kini setiap enam bulan.

“Daripada ‘senarai dikehendaki’ sebelum ini, ada lima nama dikeluarkan kerana tiga daripadanya ditembak mati dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Filipina, manakala dua lagi masing-masing ditangkap dan menyerah diri,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu mengingatkan masyarakat supaya memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan dan menghubungi Pusat Operasi ESSCom di talian 089-863181/016 atau WhatsApp 013-8803585 dan 019-2305909 untuk sebarang laporan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *