Pemimpin Sabah Dilantik Anggota Majlis Tertinggi PN

Presiden STAR Jeffrey Kitingan dan Presiden SAPP Yong Teck Lee kini merupakan timbalan presiden Perikatan Nasional pusat.

PETALING JAYA: Presiden STAR Jeffrey Kitingan dan Presiden SAPP Yong Teck Lee antara pemimpin Sabah yang dilantik sebagai anggota Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi PN Sabah yang juga ketua menteri Hajiji Noor berkata, Jeffrey, yang merupakan timbalan ketua menteri dan Yong dilantik sebagai timbalan pengerusi gabungan politik itu di peringkat pusat.

Selain itu, Setiausaha Agung STAR Senator Guandee Kohoi dan Timbalan Presiden SAPP Edward Dagui juga dilantik menganggotai Majlis Tertinggi PN.

Hajiji berterima kasih kepada perdana menteri, yang juga Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin atas lantikan itu, termasuk atas pemilihannya sebagai pengerusi negeri dengan berkata, ia merupakan tanggungjawab berat buat mereka.

Katanya, beliau bertemu semua parti komponen PN di Sabah, terutama PPBM, STAR, SAPP dan PAS, yang bersetuju membentuk persefahaman bagi memperkukuh PN di semua peringkat organisasi masing-masing.

Selain itu, parti terbabit juga bersetuju untuk memperkuat hubungan dengan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah, terutama Barisan Nasional (BN) dan PBS. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3443