Pemecatan Annuar Tak Jejas Gabungan Rakyat Sabah – Bung Moktar

Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pemecatan Annuar tidak dinafikan boleh menghasilkan ‘tempias’ tersendiri, terutamanya di peringkat akar umbi.

KOTA KINABALU: Pemecatan Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) tidak menjejaskan momentum Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di negeri berkenaan.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, meskipun begitu, pihaknya tidak menafikan perkara berkenaan boleh menghasilkan ‘tempias’ tersendiri, terutamanya di peringkat akar umbi.

“Tidak dapat dinafikan memang ada sedikit tempiasnya khususnya kepada masyarakat di peringkat akar umbi, tetapi di peringkat kepimpinan saya telah menyatakan bahawa UMNO Sabah dan bersama-sama sahabat kita akan sentiasa mempertahankan kerajaan (GRS),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada ketika ditemui di pejabat UMNO Sabah, Kota Kinabalu, pada Selasa.

Pemecatan Annuar sebagai Setiausaha Agung BN diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Tempat beliau digantikan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Sementara itu, Bernama melaporkan tiada masalah perebutan atau pembelian ahli dalam parti-parti yang membentuk GRS, kata Bung Moktar.

Beliau berkata perkara itu tidak timbul kerana negara mengamalkan demokrasi politik.

“Terpulang kepada rakyat untuk pilih parti mana yang mereka mahu, dan tiada isu perebutan atau membeli ahli, bukan senang mahu beli ahli (kerana) mereka tahu mana parti yang mereka mahu pilih.

“Saya minta semua pihak dalam GRS memberi fokus dalam usaha membantu rakyat, ini masa kita membantu rakyat dan jangan lagi kita berlaga-laga pasal keahlian, jangan buang masa untuk fikir masalah yang tidak memberi keuntungan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat dan AnugerahPerkhidmatan Cemerlang (APC) JKR Sabah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai isu ‘pembelian ahli’ parti yang dilaporkan menjadi pertikaian antara beberapa pemimpin UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini.

GRS merangkumi persepakatan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), membentuk kerajaan negeri Sabah selepas pilihan raya negeri ke-16 September lepas. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2415