Lelaki Cuba Bunuh Diri Di Sebuah Hotel

LABUAN: Cubaan seorang lelaki membunuh diri dalam sebuah bilik hotel di sini tidak kesampaian apabila tindakannya membakar beberapa peralatan dalam bilik hotel disedari oleh pengurusan hotel tersebut.

Lelaki tempatan berusia 35 tahun yang dipercayai mengalami depresi itu didapati cuba membunuh diri dengan membakar peralatan dalam bilik sebuah hotel di kawasan Lazenda Commercial Centre, Wilayah Persekutuan Labuan pada 4.30 pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah WP Labuan, Deputi Superitendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada 6.50 pagi.

Beliau berkata, tindakan awal menyelamatkan mangsa telah dilakukan oleh pihak bomba yang telah dimaklumkan oleh pihak pengurusan hotel.

Katanya, pihak bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati bilik dalam keadaan berkunci namun berjaya memujuk suspek untuk membuka bilik tersebut yang berada di aras tiga.

Sebaik pasukan bomba berjaya masuk ke dalam, didapati suspek mengalami kecederaan di pergelangan tangan kiri dan kanan dipercayai kesan torehan serpihan botol kaca dan telah di bawa ke Hospital Labuan oleh pihak ambulans.

Mohd Ibrahim berkata, siasatan polis mendapati, suspek dipercayai mengalami depresi kerana telah lama tidak dapat bertemu ibunya yang sedang dipenjarakan di salah sebuah penjara di Semenanjung Malaysia.

Suspek yang kini sedang ditahan di Hospital Labuan dan masih menerima rawatan serta berada dalam keadaan stabil.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba melakukan kesalahan membunuh diri. Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat hendak menyebabkan kerosakan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *