Dr M ‘Masuk’ 2021 Dengan Rasa Bimbang ‘Orang Berkuasa’ Salah Guna Undang-Undang, Tindas Rakyat

Shafie Apdal. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad menggesa pihak berkuasa berhenti menyalah guna undang-undang dan sebaliknya menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang.

Dalam catatan blog pertama tahun ini, Mahathir berkata tidak ada sesiapa harus bertindak melampaui undang-undang, tidak kira tinggi mana kedudukan mereka.

“Rakyat harus berasa selamat, harus percaya bahawa undang-undang adalah untuk melindungi mereka,” katanya.

Beliau berkata kebimbangannya berdasarkan penahanan beberapa orang yang dilayan secara tidak adil sebelum ini.

Antara mereka adalah bekas ketua menteri Sabah, Shafie Apdal, yang ditangkap bersama rakan pemimpin Warisan bersabit tuduhan rasuah.

“Mereka ditangkap, ditahan selama lapan hari, terpaksa memakai baju oren dan dilemparkan ke dalam sel tanpa tikar tidur. Setakat ini, tidak ada tuduhan terhadap mereka,” kata Mahathir.

(Shafie ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada April 2017 dan dituduh menyalahgunakan dana awam sebanyak RM1.5 bilion. Namun, menteri undang-undang Liew Vui Kong memberitahu bahawa pendakwa raya menggugurkan semua tuduhan kerana kekurangan bukti.)

Mahathir juga memetik beberapa contoh lain yang menurut beliau adalah petunjuk bahawa wujud orang-orang kuat dan berpengaruh yang boleh mengaturkan penahanan seseorang, tanpa mengikut proses undang-undang negara.

Dalam satu kes, wujud dakwaan seorang ditahan lima hari tanpa dimaklumkan kepada sesiapa, manakala seorang lagi di tahan tanpa perbicaraan selama dua tahun. Satu lagi kes membabitkan penahanan seorang wanita dalam sel gelap gelita, kata Mahathir.

“Nampaknya ada orang berkuasa (sampai boleh) mengatasi undang-undang,” kata Mahathir. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

6252