Polis Indonesia Tahan Suspek Ubah Lagu Indonesia Raya

Polis Indonesia menahan pelajar warga negara itu selepas dipercayai terbabit dalam pembikinan video lagu Indonesia Raya yang diubah suai liriknya dan menghina negara berkenaan. Foto AFP

JAKARTA: Polis Indonesia menahan seorang pelajar warga negara itu selepas dipercayai terbabit dalam pembikinan video lagu Indonesia Raya yang diubah suai liriknya dan menghina negara berkenaan.

Menurut Ketua Agensi Siasatan Jenayah Polis Indonesia Listyo Sigit Prabowo seperti dipetik media tempatan menyatakan, suspek ditahan 8 malam tadi di sebuah rumah, di Cianjur, Jawa Barat.

“Polis menahan suspek lelaki, berinitial ‘MDF’, dan menyita satu telefon bimbit, satu SIM card dan set komputer,” katanya.

Setakat ini polis belum mendedahkan identiti lengkap suspek berkenaan, seperti umur, asal, dan belajar di mana.

Penangkapan itu adalah hasil kerjasama siasatan kes berkenaan membabitkan Polis Indonesia dan Polis Diraja Malaysia.

Sebelum ini sebuah video dimuat naik oleh individu tidak bertanggungjawab di ruang komen di laman Youtube My Asean, yang memaparkan lagu kebangsaan Indonesia disunting liriknya yang menghina negara Indonesia.

Video di Youtube berkenaan dipadamkan, namun video itu dimuat naik ke pelbagai aplikasi lain dan ditularkan, sehingga menimbulkan pelbagai komen kebencian dan kemarahan.

Semalam, Bernama melaporkan, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata suspek video berkenaan dilakukan oleh warga republik negara berkenaan, dan bukan dilakukan di Malaysia.

Beliau berkata maklumat itu diperoleh hasil soal siasat terhadap seorang buruh warga Indonesia berusia lingkungan 40-an, yang ditahan di Sabah.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *