Covid-19: 2,068 Kes Baharu & 3 Kematian Hari Ini

Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pada hari ini bilangan kes sembuh Covid-19 adalah sebanyak 2,230 kes. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 91,171 kes

Pada hari ini, 1 Januari 2021, Malaysia telah merekodkan kes harian baharu sebanyak 2,068 kes. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 115,078 kes.

Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 23,433 kes.  Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua (2) kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,066 kes.

Dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan 3 kes kematian hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 474 kes.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 776 kes (37.5 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 425 kes (54.8 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 457 kes (22.1 peratus) dan Sabah sebanyak 254 kes (12.3 peratus).

KKM juga ingin memaklumkan terdapat tiga kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini iaitu:

  • KLUSTER RAWA AKASIA

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-100149) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 24 Disember 2020 melalui saringan individu bergejala.

Sehingga 1 Januari 2021, sejumlah 322 individu telah disaring, di mana 117 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER JALAN PERINDUSTRIAN

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kulai di negeri Johor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-106412) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 28 Disember 2020 melalui saringan bersasar di tempat kerja.

Sehingga 1 Januari 2021, sejumlah 95 individu telah disaring, di mana 20 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER RANTAU SEMARAK

Kluster ini melibatkan daerah Maran di negeri Pahang dan daerah Gombak di negeri Selangor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-106636) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 28 Disember 2020 melalui saringan individu bergejala.

Sehingga 1 Januari 2021, sejumlah 69 individu telah disaring, di mana 18 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *