Rogol Remaja Di Ladang Sawit, Warga Indonesia Dipenjara 15 Tahun & 5 Sebatan

Gambar Hiasan

TAWAU: Pekerja ladang dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan di Mahkamah Sesyen Tawau di sini hari ini, selepas didapati bersalah merogol remaja berusia 16 tahun, 23 November lalu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amir Shah Amir Hassan menjatuhi hukuman itu terhadap tertuduh, Masriadi Baharudin, 28, yang mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan di bacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, lelaki berasal dari Indonesia itu didakwa merogol mangsa di sebuah ladang kelapa sawit di Blok 14C Ladang Jatika, Semporna, jam 7.45 pagi, 23 November lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh melakukan perbuatan itu dengan merangkul leher mangsa dari belakang sambil mengacukan parang ketika mangsa berjalan kaki berseorangan ke rumah ahli keluarganya di ladang berkenaan sebelum merogolnya.

Prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau Asisten Superintendan Dg Nur Azrinawati Ag Kachee.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon kepada mahkamah supaya hukuman diringankan dengan alasan isterinya hamil anak sulung.

Bagaimanapun, Amir Shah dalam penghakimannya menegaskan, kesalahan dilakukan tertuduh adalah amat serius dengan mengambil kira masa depan mangsa yang mungkin trauma sepanjang hayat.

“Hukuman ini adalah demi kepentingan awam selain sebagai pengajaran kepada tertuduh,” katanya.

Amir Shah memerintahkan hukuman berkuatkuasa bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 24 November lalu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan pengusiran sebaik tamat menjalani hukuman. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *