Kos Tanah Tinggi, Faktor Harga Rumah Di Sabah Mahal

Kos tanah di Kota Kinabalu antara tertinggi di Malaysia. Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, antara faktor harga rumah di Sabah mahal kerana kos tanah yang agak tinggi.

Katanya, selain itu proses permohonan oleh pemaju dan kelulusan terlalu lama juga menjadi faktor harga rumah di negeri itu melambung.

“Sudah pasti kalau di Kota Kinabalu dan sekitarnya kos tanah agak tinggi, jangan kata tertinggi di Sabah tetapi antara tertinggi di Malaysia.

Masidi Manjun

“Selain itu, proses permohonan dan kelulusan (membina perumahan) itu terlalu lama, jadi bila seorang pemaju mendapat kemudahan kewangan daripada bank, dia kena bayar faedah kepada kemudahan kewangan itu sedangkan kerja pembinaan rumah belum siap.

“Apabila semua ini sudah terkumpul (pembayaran faedah kepada bank), dia (pemaju) akan meletakkan kos tambahan itu kepada pembeli kerana terlalu lama (kelulusan pembinaan perumahan),” katanya dalam ucapan penggulungan berkaitan Belanjawan 2021 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Sementara itu, Masidi berkata kementeriannya juga sedang melaksanakan program perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan B40 yang bukan kakitangan kerajaan serta belum memiliki rumah.

Katanya, skim itu bertujuan menampung kos pembinaan rumah yang berharga tidak melebihi RM50,000 seunit.

“Setakat September, sebanyak 495 unit rumah dibina, 104 unit sedang dalam pembinaan dan 141 lagi akan dibina manakala sebanyak 349 permohonan baharu diterima dan akan diproses oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB),” katanya.

Beliau berkata, selain program perumahan kos rendah, kementeriannya juga prihatin terhadap golongan M40 untuk memiliki rumah sendiri berharga RM250,000 ke bawah.

“Dalam tempoh lima tahun lepas, pihak LPPB membina sebanyak 5,157 unit rumah mampu milik di beberapa lokasi di negeri ini. Sebanyak 1,640 unit rumah lagi sedang dalam pembinaan di Papar, Tuatan dan Kota Kinabalu selain 2,085 unit rumah lagi akan dibina pada 2021.

“Program ini akan dilaksanakan oleh LPPB secara usaha sama dengan pemaju swasta menerusi konsep ‘win win situation’ di mana pemaju swasta akan membiayai sepenuhnya kos pembangunan projek tanpa membabitkan kewangan kerajaan atau LPPB,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1355