SAFA Umum Beberapa Muka Baharu

Bung Moktar (empat kiri) meninjau keadaan padang latihan berhampiran pejabat SAFA selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SAFA di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) hari ini mengumumkan pelantikan beberapa lagi muka baru termasuk bekas pemain Sabah dalam usaha menstrukturkan semula pentadbiran induk bola sepak negeri ini.

Mereka iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Dalit, Jasnih Daya sebagai Bendahari Agung, manakala Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (UPEN) Sabah, Benedict Asmat sebagai Setiausaha Agung.

Sementara itu, bekas pemain Sabah era 1960-an hingga 1980-an, Azman Mastar, dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung SAFA yang baharu.

Bung sempat meninjau keadaan padang latihan berhampiran pejabat SAFA. Turut kelihatan Jasnih (dua kanan) dan Benedict (tiga kiri).

Pelantikan mereka diumumkan pemangku Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) SAFA di pejabat persatuan itu di Kompleks Sukan Likas, di sini, hari ini.

Jasnih yang juga Pembantu Menteri Kewangan negeri menggantikan penyandang Bendahari Agung SAFA sebelum ini, Joehari Ayub Aman, manakala Benedict menggantikan penyandang Setiausaha Agung, Rafie Robert.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Kerja Raya negeri berkata, Rafie dan Joehari bagaimanapun akan dilantik semula sebagai anggota AMT SAFA, manakala ahli AMT lain akan dilantik kemudian.

Isnin lalu, Bung Moktar diumum sebagai pemangku Presiden SAFA yang baharu, menggantikan Timbalan Presiden, Datuk Abdul Rahman Zakaria yang memangku jawatan itu selepas penyandangnya, Datuk Peter Anthony, meletak jawatan pada akhir September lalu.

Mengulas mengenai pelantikan baharu dalam pengurusan SAFA, Bung Moktar berkata, ia adalah sebahagian langkah segera yang diambil beliau dalam usaha untuk menstruktur semula pentadbiran badan bola sepak itu.

“Usaha dan pendekatan lain yang bersesuaian dengan langkah proaktif ke arah kemajuan sukan bola sepak di negeri ini juga sedang dipertimbangkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pembentukan pasukan Piala Presiden dan Piala Belia untuk menghadapi liga musim depan juga akan dilakukan secepat mungkin.

Katanya, ia termasuk penyusunan pengurusan, pemilihan jurulatih dan pemain bagi kedua-dua pasukan itu.

“Kita akan lakukan dengan teliti dan seboleh-bolehnya secepat yang mungkin supaya pasukan terbabit dapat melakukan persiapan yang rapi untuk bertanding,” katanya.

Mengikut ketetapan yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia bagi musim 2021 dijadualkan berlangsung pada Jun tahun depan.

Tambah Bung Moktar lagi, penstrukturan semula yang dilakukan SAFA akan turut diperluaskan di peringkat daerah.

Menurut beliau, pihaknya berharap usaha itu berjalan dengan lancar dan mampu membawa perubahan kepada sukan bola di Sabah.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3999