COVID-19: 1,340 Kes Baharu, 4 Kematian Dilaporkan

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya.

PUTRAJAYA: Sebanyak 1,340 jangkitan baharu COVID-19 dilaporkan, hari ini, termasuk tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan wabak itu di Malaysia kini mencecah 93,309 dengan 15,563 kes aktif.

“Selangor kekal mencatat angka harian tertinggi, iaitu 441 kes baharu (32.9 peratus), disusuli Kuala Lumpur dengan 284 jangkitan (21.2 peratus) dan Sabah yang melaporkan 196 kes (14.6 peratus).

“Sebanyak 134 kes (10.0 peratus) yang dilaporkan pula berkaitan kluster di penjara dan depoh tahanan imigresen membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (58), Kluster Tembok Gajah (56), Kluster Tembok (10), Kluster Penjara Seberang Perai (lapan) serta Kluster Penjara Kepayan (dua),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, empat kematian baharu akibat COVID-19 direkodkan, hari ini, menjadikan jumlah kumulatifnya mencecah 437 kes (0.47 peratus).

Setakat tengah hari tadi, sebanyak 116 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 57 memerlukan bantuan pernafasan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1055