Kerajaan Akan Lantik Perunding Percepat Projek Lebuhraya Pan Borneo

KUCHING: Satu syarikat perunding pengurusan projek (PMC) akan dilantik tidak lama lagi sebagai pendekatan untuk mempercepatkan projek Lebuhraya Pan Borneo di sebelah Sarawak yang tertangguh berikutan pandemik COVID-19 dan pertukaran kerajaan, kata Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof hari ini.

Beliau berkata PMC akan membantu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memantau projek itu, selain melakukan proses penentusahan dan lain-lain tugas berkaitan yang mampu mempercepatkan pelaksanaan projek lebuh raya sepanjang 786.41km, melibatkan 12 pakej kerja yang setakat ini siap kira-kira 51%.

“Diharap (pengumuman pelantikan itu) menjelang Jan tahun depan. Ia (pelantikan) masih belum lagi diputuskan. Kami masih menunggu MOF (Kementerian Kewangan ) untuk memutuskannya,” kata beliau selepas menghadiri satu perjumpaan dengan editor media Sarawak di sini.

Fadillah Yusof.

Menurut beliau, rancangan melantik PMC diberikan justifikasi kerana JKR Sarawak tidak akan terdaya untuk mengendalikan beban kerja yang perlu diselesaikan untuk projek yang telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Beliau berharap pelantikan itu akan mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan dan mencapai 70% siap menjelang akhir tahun hadapan.

Sementara itu Fadilah berkata Kementerian Kerja Raya sedang bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menggalakkan guna pakai konsep Model Maklumat Bangunan (BIM) dalam menghasilkan pelan bangunan.

Walaupun terdapat hasrat untuk mewajibkan konsep BIM dalam penghantaran pelan bangunan padamasa hadapan, beliau berkata, ia akan mengambil masa kerana bilangan arkitek yang benar-benar layak masih belum mencukupi. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *