Lelaki Parah Ditetak, 6 Ditahan Bersama Parang

Lokasi pergaduhan di sebuah restoran di Jalan Beaufort Jaya, Beaufort,

BEAUFORT: Polis menahan enam lelaki disyaki terbabit dalam pergaduhan yang menyebabkan seorang lelaki parah parah, manakala seorang lagi cedera ringan di sebuah restoran di Jalan Beaufort Jaya, di sini, semalam.

Dalam kejadian 11.40 malam itu, seorang lelaki parah di kepala akibat ditetak menggunakan parang manakala seorang lagi luka kecil di kepala disyaki dilibas dengan tali pinggang.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir A Razak berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian akibat pertengkaran mulut antara pemilik restoran dengan empat pelanggan yang membeli minuman keras di restoran itu.

Lokasi pergaduhan di sebuah restoran di Jalan Beaufort Jaya, Beaufort,

Katanya, pelanggan terbabit tidak puas hati apabila mendakwa pemilik restoran melayan mereka dengan kasar ketika mahu membeli minuman keras.

“Keempat-empat lelaki itu kemudian beredar dan akan datang semula untuk memukul pemilik restoran terbabit.

“Bimbang dengan keadaan itu, rakan pemilik restoran kemudian membuat laporan di Balai Polis Beaufort,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azmir berkata, tidak lama selepas itu, kumpulan lelaki yang membuat kacau sebelumnya dikatakan datang semula ke restoran dan berlaku pergaduhan.

Katanya, polis yang menerima laporan itu kemudian bergegas ke lokasi dan meleraikan pergaduhan berkenaan.

“Susulan pergaduhan itu, seorang lelaki parah ditetak manakala seorang lagi cedera ringan terkena kepala tali pinggang.

“Susulan kejadian itu juga, polis menahan enam lelaki disyaki terbabit dalam pergaduhan itu. Polis turut merampas empat parang panjang, kapak dan tali pinggang,” katanya.

Menurut Azmir, pihaknya sedang mengesan dua lagi individu disyaki terbabit dalam pergaduhan berkenaan dan siasatan masih diteruskan.

Katanya, semua suspek berusia lingkungan 29 hingga 48 tahun kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 148 kanun yang sama kerana melakukan rusuhan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

9524