Wanita Indonesia Seludup Barang Keperluan Ke Tawau Ditahan

TAWAU, 8 Dis: Seorang wanita yang menyeludup masuk barang keperluan harian menggunakan bot jongkong dari Indonesia ke daerah ini ditahan di muara Sungai Tawau Lama, Batu 3 dekat sini, semalam.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Ahmad Fuad Othman berkata suspek berusia 43 tahun itu ditahan dalam serbuan Op Cegah Pati daratan selepas pasukan keselamatan menerima maklumat pada 3 pagi.

“Anggota daripada Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan diketuai anggota ESSCom yang tiba di lokasi kejadian mengesan dan menahan bot jongkong yang sarat muatan barang seludup bersama suspek, manakala juragan bot berjaya meloloskan diri dengan terjun ke laut,” menurutnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya antara muatan barang ditemui termasuk gula merah Indonesia (20 kotak), kuali kawah (12 unit), kuali aluminium (enam unit), beras pulut hitam (sembilan karung), keju Cheddar (empat karung), sambal pecal (dua karung), serbuk minuman (enam karung), kertas tembakau (tiga karung) dan perasa masakan (14 karung).

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek yang juga pemegang pasport Indonesia itu mengakui membawa masuk barangan tersebut tanpa memiliki sebarang permit atau surat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu, Ahmad Fuad menggesa komuniti maritim memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan perlakuan yang melanggar undang-undang termasuk penyeludupan dan kemasukan pendatang haram dengan menghubungi Pusat Operasi ESSCom di talian 089-863181.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1786