‘Tragedi Syafiq Sama Macam Yang Saya Alami’ – Rozaimi

Rozaimi ketika menerima rawatan di hospital selepas kemalangan pada 2015. Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Kemalangan ngeri yang menimpa penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Syafiq Ahmad pernah dilalui oleh seorang lagi penyerang berbakat negara, Rozaimi Abdul Rahman pada 2015 lalu.

Jelas Rozaimi, dia mengakui trauma apabila kejadian yang menimpa Syafiq adalah sama seperti episod hitam dilaluinya dulu di mana kemalangan yang berlaku di Tuaran, Sabah menyaksikan anak saudaranya terkorban.

Katanya, dia menangis sebaik mengetahui kemalangan yang menimpa Syafiq itu.

“Saya kemalangan dengan kereta semua, sampai sekarang saya masih trauma. Apabila melihatnya semalam (kemalangan yang menimpa Syafiq Ahad lalu), saya menangis sebab masih teringat anak saudara saya.

“Dia (Syafiq) pula dengan mak mentua dan anaknya, jadi ia benda yang sama seperti yang berlaku kepada saya, saya melihat kemalangan itu memang dalam keadaan trauma.

“Saya melihat keretanya juga sama seperti kereta saya dulu, hancur. Kemudian dia hilang orang yang tersayang, memang sama macam saya,” katanya di akaun Facebook rasmi miliknya.

Ahad lalu, Syafiq yang juga penyerang Harimau Malaya terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Kilometer 163.6 arah utara di Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Kemalangan ngeri itu mengorbankan bayi lelakinya berusia 22 hari dan dua wanita iaitu ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45 tahun dan pembantu rumah dari Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.

Manakala Syafiq dan seorang lagi anak perempuannya, Aaira Nur Saffiyya, 2 tahun, cedera ringan sementara isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25 tahun, dilaporkan cedera parah.

Rozaimi yang pernah dijulang antara penyerang muda terbaik Asia menitipkan nasihat dan semangat kepada Syafiq untuk tabah menerima dugaan yang berat ini.

“Anak saudara saya dulu dari kecil membesar dengan saya, saya tak boleh ingat kemalangan itu, saya kena ingat perkara lain daripada itu untuk menguatkan semangat diri saya.

“Kesedihan itu memang ada, rasa nak nangis pun ada bila teringat perkara itu. Tapi kita kena kuat dan jangan ingat benda yang membuatkan kira rasa hilang semangat,” katanya.

Ketika ini, Rozaimi dikaitkan dengan beberapa pasukan termasuk Sabah selepas kontraknya dengan JDT tidak disambung selepas bersama skuad Harimau Selatan itu sejak 2016. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3686