Aktiviti Kuliah, Kelas Agama Dan Solat Berjemaah Di Masjid, Surau Dibenarkan

KOTA KINABALU: Aktiviti dan solat berjemaah lima waktu di masjid dan surau di seluruh Sabah dibenarkan dengan kapasiti jemaah 1/3 daripada ruangan solat utama.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, kerajaan negeri telah bersetuju dengan cadangan Mufti Negeri Sabah untuk membenarkan aktiviti di masjid dan surau sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa sehingga 20 Dis ini.

Beliau berkata, kebenaran itu termasuk untuk solat berjemaah lima waktu dan solat jumaat di semua zon di negeri ini.

Namun, bilangan jemaah solat lima waktu di masjid dan surau bagi seluruh zon di negeri Sabah ialah 1/3 kapasiti dewan solat utama masjid dan surau. Manakala, bilangan ahli Solat Jumaat adalah mengikut keluasan Dewan Solat Utama masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal.

Manakala, aktiviti dan program masjid dan surau dibenarkan dalam tempoh tidak melebihi satu jam seperti Kuliah Maghrib, Dhuha dan sebagainya.

Malah, aktiviti kelas agama turut dibenarkan di dewan atau bilik khas masjid tidak melebihi lima jam dan bilangan peserta tidak melebihi 20 orang. Semua peserta hendaklah menjaga disiplin diri dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh pihak berwajib.

Masidi berkata, untuk majlis akad nikah dibenarkan diadakan di dewan atau bilik khas masjid dengan kehadiran tidak melebihi 20 orang mengikut saiz ruang majlis.

Semua yang hadir juga hendaklah menjaga disiplin diri dan mematuhi semua SOP yang telah dikeluarkan oleh pihak berwajib seperti jamuan makan dan minum dalam bentuk bungkusan sahaja yang dibenarkan.

Untuk kehadiran di masjid, kanak-kanak yang dibenarkan hadir ke masjid dan surau adalah 10 tahun ke atas. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *