UMNO Tak Bertanding PRK Bugaya

KOTA KINABALU: Umno Sabah memutuskan tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bugaya pada 16 Jan depan.

Ketuanya, Bung Moktar Radin berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Umno Sabah hari ini.

“Keputusan itu dibuat kerana Umno tidak bertanding di kerusi itu dalam pilihan raya negeri sebelum ini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Bagaimanapun, timbalan ketua menteri itu berkata, lebih baik jika darurat diisytiharkan untuk menangguhkan PRK Bugaya, seperti yang dilakukan kepada PRK Batu Sapi.

“Lebih baik menangguhkan PRK dahulu demi kebaikan rakyat.”

Pada 27 Nov lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Gerik di Perak dan DUN Bugaya di Sabah akan diadakan secara serentak pada 16 Jan nanti, dengan penamaan calon ditetapkan pada 4 Jan dan 12 Jan untuk pengundian awal.

Dua kerusi itu kosong susulan kematian Ahli Parlimen Gerik, Hasbullah Osman dari Barisan Nasional pada 16 Nov lalu akibat sakit jantung, disusuli Adun Bugaya, Manis Muka Mohd Darah dari Warisan keesokannya.

Bekas pemimpin kembali ke pangkuan Umno

Bung berkata, Umno mengalu-alukan kepulangan beberapa bekas pemimpinnya, iaitu bekas bendahari agungnya, Salleh Said Keruak dan bekas ketua Umno Bahagian Papar, Abdul Rahim Ismail.

James Ratib, Bolkiah Ismail dan Jamawi Jaafar, yang meninggalkan parti itu untuk menyertai Warisan sebelum ini, turut kembali ke pangkuan Umno.

“Kami juga melantik Salleh sebagai pengarah pilihan raya BN Sabah untuk pilihan raya akan datang.”

Sementara itu, Bung memberi jaminan apa yang berlaku di Perak, di mana kerajaan negeri tumbang selepas menteri besar hilang sokongan majoriti Adun, tidak akan berlaku di Sabah selagi parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bekerjasama.

Katanya, sentimen di Perak berbeza dengan Sabah.

“Kami mengutamakan kepentingan rakyat. Kami berharap pemimpin GRS saling memahami satu sama lain – kita perlu dilihat bekerjasama,” kata Adun Lamag itu.

Ditanya apakah jaminan Umno tidak akan melakukan perkara sama terhadap PPBM di Sabah, Bung berkata, pemimpin GRS perlu saling mempercayai.

“Ini bergantung kepada keikhlasan kita – Umno ikhlas, kami tidak akan mengkhianati rakan kami. Pada masa sama, kami meminta rakan kami tidak mengkhianati kami juga.

“Konsep bekerjasama ini bermakna setiap keputusan perlu dibuat bersama, tetapi solidariti kami (GRS) masih utuh.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpostIkuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *