Penduduk Kampung Temui Janin Dalam Plastik

Janin ditemui dalam plastik ditempat letak kereta.

SANDAKAN: Seorang penduduk menemui satu janin di dalam  plastik yang diletakkan di kawasan letak kereta berbumbung Wisma Wee Min berhampiran perkampungan setinggan atas bukit Kampung Kombo Jalan Leila, petang kelmarin.

Dalam kejadian lebih kurang jam 2.15 petang,  semasa Lans Kopral Noramirul Jamaludin, bersama Sarjan Adim menjalakan tugas rondaan di Jalan Leila Sandakan telah menerima panggilan daripada  seorang penduduk Kampung Kombo mengatakan terjumpa satu beg plastik mengandungi janin bayi ditinggalkan di tempat letak kereta berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata siasatan lanjut mendapati janin itu ditemui lebih kurang jam 2 petang oleh seorang penduduk semasa dalam  perjalanan balik ke rumahnya di kawasan kampung terbabit.

“Penduduk kampung itu telah terlihat satu beg plastik di atas lantai tempat letak kereta dan telah membukanya sebelum menjumpai janin berkenaan,” katanya.  

Mohd Azhar berkata hasil pemeriksaan awal mendapati  janin tersebut dalam lingkugan 8 atau 9 bulan.

Keadaan janin itu sempurna lengkap kepala, dua tangan, dua kaki, masih bertali pusat dipercayai dipotong sendiri serta diselaputi ketuban. Secara pemerhatian awal mendapati tiada sebarang kesan luka pada janin,” katanya.

Beliau berkata janin tersebut kemudian dihantar oleh pihak polis  ke Kamar Mayat Hospital Duchess Of Kent, Sandakan untuk dibedah siasat.

Setakat ini, beliau berkata belum ada maklumat ibu kepada janin ini diperolehi dan siasatan masih diteruskan.

Mohd Azhar meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan agar menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat yang mana boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1936