Covid-19: Dua Kluster Baharu & 2 Kematian Di Sabah

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan dua lagi kluster baharu Covid-19 hari ini, iaitu kluster Batu Tiga, Tawau dan kluster Jalan Domis, Kota Kinabalu.

Kluster Batu Tiga mencatatkan 28 kes positif setakat ini sementara, kluster Jalan Domus mencatatkan 12 kes positif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 391 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini. Sementara, dua daripada empat kes kematian turut dilaporkan di Sabah.

Kedua-dua kematian di Sabah itu melibatkan lelaki warganegara berusia 75 tahun yang meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth; dan lelaki berusia 64 tahun yang meninggal dunia di Hospital Tawau. Kedua-duanya mempunyai sejarah penyakit kronik.

Dua lagi kematian dilaporkan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Johor dan Hospital Shah Alam Selangor.

Dengan tambahan empat kematian itu menjadikan kes kematian dilaporkan di Malaysia meningkat kepada 380 kes, sementara kes kematian di Sabah menjadi 218 kes.

Secara keseluruhan sebanyak 1,123 kes baharu di Malaysia. Daripada jumlah itu, 1,118 kes jangkitan tempatan dan lima kes import.

Hari ini sebanyak empat kluster baharu dilaporkan termasuk dua di Sabah. Dua kluster lagi adalah kluster Andalas, Selangor dengan 16 kes positif dikesan setakat ini serta kluster Tapak Bina Bulatan, Kuala Lumpur dengan 163 kes positif.

Sementara, bilangan kes pulih hari ini sebanyak 1,143 kes, dengan kumulatif kes pulih sebanyak 60,204 kes.

Tambahan kes baharu hari ini menjadikan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 71,359 kes. Sebanyak 10,775 kes aktif dengan 130 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 54 kes memerlukan bantuan alat pernafasan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1520