UMNO Sabah Tidak Akan Khianati Rakan GRS – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 5 Dis : UMNO Sabah tidak akan mengkhianati jalinan kerjasamanya dengan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan berharap agar pendirian sama dipegang rakan lain dalam gabungan itu, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata perkara ini penting kerana kerjasama tersebut telah membolehkan GRS membentuk kerajaan negeri dan UMNO Sabah akan terus bersama-sama rakan parti lain dalam GRS untuk mengukuhkan kerajaan negeri bagi membela nasib rakyat.

“Jaminan (untuk terus bersama rakan GRS) sentiasa ada, ini bergantung kepada keikhlasan kita semua, UMNO memang ikhlas, kita tidak akan mengkhianati rakan kita dan kita juga minta rakan jangan mengkhianati kita, walau siapa sahaja rakan kita,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah hari ini.

GRS, yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh majoriti mudah 38 kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) 26 Sept lepas.

Parti dalam gabungan PN pula terdiri daripada Bersatu, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) manakala BN terdiri daripada UMNO, MIC, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Ditanya mengenai spekulasi bahawa perkembangan politik di Perak akan menular ke Sabah, Bung Moktar berkata situasi di kedua-dua negeri tidak sepatutnya disamakan kerana masing-masing memiliki sentimen tersendiri.

“Kita di Sabah ada sentimen sendiri, kita utamakan kepentingan rakyat, yang penting kita harapkan pemimpin-pemimpin di Sabah memahami antara satu sama lain, bermakna kita mesti… tidak boleh berpecah, jika berpecah akibatnya rugi,” katanya.

Semalam, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden Bersatu gagal mendapat undi percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk dalam kalangan Ahli DUN UMNO.

Dalam perkembangan lain, Bung Moktar berkata UMNO Sabah memutuskan tidak akan bertanding pada pilihan raya kecil DUN Bugaya yang dijadualkan pada 16 Jan tahun depan susulan kematian penyandangnya Datin Manis Muka Mohd Darah daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Terdapat beberapa faktor untuk keputusan ini dibuat sendiri oleh UMNO Sabah, antaranya pada PRN Sabah lepas, UMNO tidak bertanding di kawasan itu.

“UMNO Sabah menyokong sekiranya darurat (diisytiharkan) di Bugaya seperti di Batu Sapi bagi menjaga rakyat (daripada) dijangkiti COVID-19,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1341