Johor Dan Sabah Boleh Jatuh – Naib Presiden PPBM

Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen

KUALA LUMPUR: Kemelut politik Menteri Besar yang berlaku di Perak ketika ini kemungkinan juga boleh mengheret ke kancah sama di beberapa negeri lain termasuk di Johor, Sabah dan Melaka boleh jatuh.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, berkata ia juga boleh menggugat kedudukan kerajaan Persekutuan yang ketika ini dibina atas persetujuan beberapa parti.

“Akibat daripada cetusan kemelut ini, tsunami politik juga berisiko untuk melanda kerajaan Johor, Sabah, dan beberapa negeri lain termasuk Kerajaan Persekutuan kerana kerajaan didirikan hasil kerjasama semua parti-parti politik.

“Perdana Menteri sudah memberi jaminan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 diadakan segera sebaik pandemik COVID-19 pulih sepenuhnya.

Nasihat Agong untuk semua pemimpin dan parti politik menghentikan kemelut politik nampaknya tidak dipedulikan serta diketepikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ketika COVID-19 melanda negara, masih ada pemimpin dan parti politik tidak henti-henti berusaha untuk menjatuhkan kerajaan pusat dan kini kerajaan Perak.

“Insya-Allah, rakyat akan menghukum parti dan individu yang meletakkan kepentingan politik, jawatan dan parti masing-masing melebihi nyawa, kesihatan, keselamatan dan ekonomi rakyat yang kini terancam akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Untuk rekod Di Johor, Barisan Nasional (BN) mempunyai 16 kerusi, Perikatan Nasional 13 kerusi, Pakatan Harapan 27 kerusi, di Melaka pula, BN mempunyai 13 kerusi, BERSATU 2 kerusi, Bebas 2 kerusi bagi blok kerajaan dan DAP 7 kerusi, Parti Keadilan Rakyat 2 kerusi, dan Amanah 2 kerusi bagi blok pembangkang.

Manakala di Sabah, PN memperoleh 17 kerusi DUN, manakala BN menang 14 dan PBS pula meraih kemenangan di tujuh kerusi yang ditandingi, menjadikan keseluruhan 38 kerusi DUN. Bagi Gabungan WARISAN Plus pula, iaitu WARISAN menang 29 kerusi DUN, manakala PKR menang dua kerusi dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pula meraih satu kerusi, dengan keseluruhan 32 kerusi. Tiga lagi kerusi DUN dimenangi oleh calon Bebas.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini gagal memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul undi percaya.

Sebanyak 48 undi tidak menyokong usul berkenaan dan hanya 10 yang menyokong manakala terdapat satu undi rosak atau berkecuali.

Terdahulu, menerusi surat bertarikh 18 November lalu, ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abd Manaf Hashim berkata Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang dari BERSATU mempunyai keyakinan majoriti Ahli Yang Berhormat DUN. – SuaraTV

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *